![]() |
| Presiden Donald Trump menyampaikan ucapan sulung kepada Kongres AS |
![]() |
| Dalam ucapannya, Trump berjanji akan mendapatkan AS$1 trilion (RM4.4 trilion) menerusi pelaburan awam dan swasta |
![]() |
| Trump juga berjanji akan memperkenalkan rombakan cukai “bersejarah” |
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjanji akan mendapatkan AS$1 trilion (RM4.4 trilion) menerusi pelaburan awam dan swasta yang akan digunakan untuk membina semula infrastruktur uzur di negara itu.
Trump membuat janji tersebut dalam ucapan di Kongres kelmarin yang dilihat sebagai usaha mengotakan manifesto kempennya untuk membina semula jalan raya, jambatan, lapangan terbang dan struktur awam AS.
“Bagi melancarkan program pembinaan semula negara kita, saya akan meminta Kongres meluluskan rang undang-undang bagi menjana pelaburan sebanyak AS$1 trilion dalam infrastruktur AS.
“Ia akan dibiayai menerusi kedua-dua pelaburan awam dan swasta sekali gus mewujudkan berjuta-juta peluang pekerjaan baharu,” kata Trump.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana dana AS$1 trilion itu akan dibelanjakan.
Menurutnya lagi, Washington telah membelanjakan AS$6 trilion (RM26 trilion) di Asia Barat tetapi pada masa sama, membiarkan infrastruktur di AS menjadi semakin teruk.
“Wang AS$6 trilion ini sebaliknya boleh kita gunakan untuk membina semula negara kita sebanyak dua kali dan mungkin tiga kali jika kita memiliki orang yang pandai melakukan rundingan (pentadbirannya),” tambah Trump.
Dalam ucapan sama, Trump juga berjanji akan memperkenalkan rombakan cukai “bersejarah” dan sekali lagi tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
Beliau berkata, rombakan cukai ini dapat mengurangkan cukai korporat yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat AS supaya mereka dapat bersaing dengan sesiapa sahaja dan di mana sahaja.
Pada masa sama, jelas Trump, beliau akan menyediakan pelepasan cukai besar-besaran kepada golongan kelas pertengahan di negara itu.
Trump turut mengulangi janjinya untuk mengenakan cukai ke atas import produk asing bagi melindungi industri AS.
“Ketika ini, apabila kita menghantar produk dari AS, kebanyakan negara lain mengenakan cukai dan tarif yang tinggi terhadap kita. Namun, apabila syarikat asing menghantar produk mereka ke AS, kita mengenakan cukai yang sedikit atau tiada cukai langsung,” katanya. – AFP/Kosmo Online



Tiada ulasan:
Catat Ulasan