"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 17 Mac 2017

Bomba Dipanggil 'Sejukkan' Lelaki Baran

Anggota bomba memancutkan air ke arah lelaki kurang siuman 

Anggota bomba merawat lelaki berkenaan sebelum polis menahannya


KUCHING - Bomba terpaksa dipanggil bagi membantu polis 'menumpaskan' seorang lelaki kurang siuman yang dikhuatiri akan mengamuk, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di Lorong 2, Jalan Datuk Haji Hamdan, di sini, orang ramai cemas apabila lelaki berkenaan mundar mandir dengan membawa dua parang di kedua-dua tangannya. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 3.13 petang. 

Beliau berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dikejarkan ke tempat kejadian. 

"Setibanya di lokasi pada jam 3.18 petang anggota kami mendapati anggota polis sedang memujuk lelaki berkenaan," katanya. 

Bagaimanapun, lelaki itu terus menggenggam parang sehingga memaksa anggota bomba melepaskan pancutan air ke tangannya menyebabkan parang terlepas dari pegangan.

"Anggota polis kemudiannya bertindak pantas menahan lelaki berkenaan dan insiden itu berjaya diselesaikan. 

"Lelaki berkenaan kemudiannya ditahan polis untuk tindakan lanjut," katanya. - BH Online



Tiada ulasan:

Catat Ulasan