 |
| David Rockefeller, salah seorang terkaya dan berpengaruh di AS meninggal dunia |
 |
| Beliau adalah anak kepada John D Rockerfeller Jr |
 |
| Juga merupakan cucu kepada John D Rockefeller Sr |
 |
| Rockefeller bersama PM Israel, Golda Meir pada tahun 1971 |
 |
| Bersama PM China, Chou En Lai di Beijing tahun 1973 |
 |
| Pernah mempengaruhi Presiden Carter agar menerima Shah Iran tahun 1979 |
 |
| Bersama Presiden Ronald Reagan tahun 1984 |
 |
| Bersama Presiden Nelson Mandela tahun 1998 |
 |
| Bersama Presiden George Bush Sr tahun 2002 |
 |
| Foto tahun 2016 besama menantu dan cucu (kanan dan tengah) |
NEW YORK - Jutawan dan dermawan, David Rockefeller, bekas peneraju Chase Manhattan Corp, antara keluarga terkaya dan paling berpengaruh Amerika Syarikat, meninggal dunia pada usia 101 tahun hari ini, kata jurucakap keluarga berkenaan.
Rockefeller, yang dilaporkan pernah menyumbangkan hampir AS$2 billion (RM8.7 bilion) ketika hayatnya, mati dalam tidur akibat sakit jantung di kediamannya di Pocantico Hills, New York, kata Fraser Seitel dalam satu kenyataan.
Beliau adalah anak kepada hartawan, John D Rockefeller Jr, yang membina bangunan pencakar langit, New York Rockefeller Center dan cucu jutawan minyak, John D Rockefeller, iaitu pengasas Standard Oil dan dinasti keluarga berkenaan.
Beliau juga sinonim dengan era ketika ketua perbankan berpengaruh besar dalam kalangan ahli politik berkuasa sedunia.
Ketika menerajui Chase dari 1969 ke 1981, Rockefeller membina rangkaian perhubungan rapat bersama beberapa kerajaan dan perbadanan multinasional hingga, menurut pemerhati, membolehkan ia menetapkan dasar luarnya sendiri.
Akibatnya, nama Rockefeller menjadi simbol dasar perbankan AS yang tidak disenangi dalam kalangan negara peminjam, selain Rockefeller sendiri dikecam di negaranya kerana bekerjasama dengan diktator Chile, Augusto Pinochet serta Shah Iran.
Beliau menimbulkan kemarahan kerana mendesak dibuka perdagangan dengan China dan Soviet Union ketika perang dingin.
Kumpulan Trilateral Commission (Suruhanjaya Tiga hala), yang diasaskan Rockefeller pada 1973 merapatkan hubungan antara Amerika Utara, Jepun dan Eropah Barat, menjadi sasaran puak kanan dan peramal konspirasi yang mengatakan gabungan berkenaan ingin membentuk kerajaan sedunia.
Rockefeller juga terbabit dalam insiden antarabangsa pada 1979 apabila beliau dan kawan akrabnya, Henry Kissinger membantu dalam mempengaruhi Presiden Jimmy Carter agar menerima masuk Shah Iran ke Amerika Syarikat bagi menjalani rawatan kerana limfoma, seterusnya mengeruhkan lagi krisis tebusan Iran ketika itu. - Reuters/BH Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan