"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 17 Mac 2017

Kapal Perang AS Tiba Di Korea Selatan

Kapal pengangkut pesawat AS, USS Carl Vinson tiba di Korea Selatan 

USS Carl Vinson akan menyertai latihan ketenteraan  untuk menentang Korea Utara

Kelengkapan senjata dan peralatan ketenteraan yang terdapat pada kapal pengangkut USS Carl Vinson

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah)

Ketegangan memuncak di rantau itu selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu


BUSAN, Korea Selatan – Kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear Amerika Syarikat (AS), USS Carl Vinson tiba di Korea Selatan kelmarin untuk menyertai latihan ketente­raan bersama dalam usaha terbaru menentang Korea Utara.

Menurut MailOnline, USS Carl Vinson tiba di pelabuhan Busan, selatan Korea Selatan ketika Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson memulakan lawatan ke wilayah itu.

Ketegangan antara Seoul dan Pyongyang memuncak selepas pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara dan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Malaysia beberapa minggu lalu.

Kapal induk itu membawa lebih 80 pesawat termasuk jet pejuang F/A-18F Super Hornet, E-2C Hawkeye dan pesawat pengangkut EA-18G Growler.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap me­laporkan, latihan ketenteraan itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk menumbangkan rejim Pyongyang.

“Lebih banyak anggota pasukan khas AS akan mengambil bahagian dalam latihan tentera Foal Eagle dan Key Resolve pada tahun ini.

“Latihan ini tertumpu kepada misi menyusup masuk ke Korea Utara, menghapuskan kepimpinan tentera dan memusnahkan fasiliti ketenteraannya,” kata seorang pegawai tentera yang enggan identitinya didedahkan kepada Yonhap.

Menurut Yonhap lagi, latihan tentera laut itu akan bermula pada minggu hadapan.

AS juga telah mengerahkan dron penyerang Gray Eagle ke Korea Selatan, kata seorang jurucakap tentera pada Isnin lalu.

Tentera Korea Selatan dan AS memulakan latihan tentera bersama berskala besar itu pada 1 Mac lalu.

Latihan sama pada tahun lalu melibatkan kira-kira 17,000 tentera AS dan lebih 300,000 tentera Korea Selatan. Latihan pada tahun ini dijangka melibatkan jumlah yang hampir sama. – Agensi/Kosmo! Online


Tiada ulasan:

Catat Ulasan