![]() |
| Pegawai Penguatkuasa Kesihatan sedang menjalankan pemeriksaan |
![]() |
| Restoran nasi kandar popular didapati kotor |
![]() |
| Restoran nasi kandar popular diarah tutup selama dua minggu |
GEORGETOWN - Dua restoran nasi kandar popular di Jalan Pinang diarah ditutup dua minggu selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor ketika pemeriksaan pihak berkuasa di sini, pagi tadi.
Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong, berkata hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan dua restoran terbabit tidak memuaskan berikutan ada najis dan bangkai tikus serta lipas berkeliaran di kawasan premisnya.
Katanya, notis penutupan premis yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkuat kuasa mulai hari ini, bermula sehingga 27 Mac depan.
"Pegawai Kesihatan memberi notis penutupan dua minggu kepada restoran itu kerana hasil pemeriksaan mendapati restoran terbabit beroperasi dalam keadaan kotor.
"Pemeriksaan juga menemui najis dan bangkai tikus di sekitar premis selain ada najis serta lipas hidup di stor penyimpanan stok bahan kering," katanya.
Selain itu, sebuah lagi restoran nasi kandar di Jalan Pinang dikenakan kompaun RM1,340 kerana kesalahan sama serta menggunakan kakitangan tidak mendapat suntikan tifoid yang wajib diambil setiap pengendali makanan. - BH Online
Arkib: Berita Awani 26 Feb 2015
Berita Susulan 14/3/2017:
GEORGE TOWN – Restoran nasi kandar popular Line Clear yang terletak di Jalan Penang di sini diarah tutup selama 14 hari ekoran penemuan bangkai seekor tikus yang hampir reput dan dihurung lalat di dalam stor simpanan barang premis itu semalam.
Selain bangkai, turut dikesan ialah beberapa ekor tikus yang berkeliaran di sekitar tempat mencuci pinggan dan di tepi bangunan premis yang sudah beroperasi lebih 87 tahun lalu.
Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri dalam satu operasi khas yang dijalankan dengan kerjasama bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mulai pukul 10.30 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Pelesenan MBPP, Ong Ah Teong berkata, premis itu terpaksa menghentikan sementara operasi mulai semalam berikutan faktor kebersihan serta penemuan beberapa haiwan perosak.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, kami terkejut apabila menemui bangkai seekor tikus di dalam sebuah stor simpanan barang yang terletak bersebelahan dengan ruang memasak.
“Sukar kami hendak gambarkan suasana premis Line Clear ketika itu. Banyak lalat bersaiz besar menghurung bangkai tikus yang dijumpai,” dedahnya ketika dihubungi Kosmo! di sini. - Kosmo!
Berita Terkini 15/3/2017:
Georgetown: “Kami akur dengan tindakan dikenakan, namun tuduhan tidak menitikberatkan soal kebersihan amat mengecewakan dan tidak berasas sama sekali,” kata pengusaha Restoran Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang, Sahubar Ali Mohd Hanibah.
Sahubar Ali, 59, berkata, pihaknya akur dan mengakui segala kesilapan serta terkejut selepas menerima notis penutupan premis selama dua minggu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disebabkan faktor kebersihan termasuk penemuan najis dan bangkai tikus serta lipas.
Menurutnya, penutupan itu yang berlaku buat kali pertama selepas 80 tahun menjalankan perniagaan nasi kandar memberi kesan cukup besar kerana sebelum ini tidak pernah ditutup kerana dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Katanya, pihaknya melahirkan kecewa di atas segala tuduhan dilemparkan dan tidak pernah sama sekali mengabaikan soal kebersihan dan apa yang berlaku disebabkan kecuaian sendiri.
“Biarpun rundingan awal dibuat agar diberikan sedikit kelonggaran, tindakan penguatkuasaan tetap dikenakan dan selepas ini, kami akan lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Kami ada membuat aduan mengenai tikus kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) minggu lalu dan Sabtu lalu tindakan penyemburan racun dan operasi dilakukan MBPP sebelum operasi penguatkuasaan dilakukan KKM bersama Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan MBPP semalam (kelmarin),” katanya.
Sahubar Ali berkata, nama baik dan imej Restoran Nasi Kandar Line Clear terjejas teruk selepas penutupan itu menjadi tular dalam media sosial dan buat masa ini, kerja pembersihan, penambahbaikan serta pengubahsuaian sedang dilakukan pihaknya.
Menurutnya, sebelum ini restoran itu diusahakan ahli keluarga lain sebelum dia mengambil alih pada 1 Mac lalu dan kerja pembersihan, penambahbaikan dan pengubahsuaian dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Katanya, notis penutupan restoran itu selama dua minggu memberi tekanan, selain memberi jaminan kesilapan sama tidak akan berulang kembali, malah pihaknya akan memperketatkan lagi jadual pembersihan setiap minggu dan bulan.
“Tempoh penutupan bermula semalam (kelmarin) hingga 27 Mac depan dan selepas ini, operasi Restoran Nasi Kandar Line Clear akan kembali seperti biasa dan kami memohon agar orang ramai tidak perlu ragu-ragu mengenai soal kebersihan yang sering menjadi keutamaan,” katanya. - myMetro




Tiada ulasan:
Catat Ulasan