"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 21 Mac 2017

Sistem Pangangkutan Monorail Yang Unik Di China

Di bandar Chongqing, landasan monorail dibina melalui bahagian dalam bangunan kediaman 

Stesen monorail dibina di tingkat enam hingga lapan bangunan ini

Bandar Chongqing merupakan kawasan yang padat didiami penduduk



Kepadatan penduduk yang mendiami Bandar Chongqing di tenggara China telah mendorong pihak perancang bandarnya menjadi lebih kreatif.

Hasilnya, sebuah landasan tren monorail telah dibina melalui ruang di sebuah bangunan apartmen 19 tingkat di bandar tersebut.

Manakala stesen dibina di tingkat enam hingga lapan di dalam blok rumah-rumah berkenaan, bagi memudahkan penduduknya menaiki tren itu.

Walaupun mereka tinggal berhampiran stesen kereta api yang sibuk, namun peralatan khas telah dipasang bagi mencegah bunyi yang kurang menyenangkan penduduknya.

Menurut jurucakap pihak berkuasa, mencari ruang untuk membina jalan raya dan landasan adalah perkara yang sangat sukar di bandar itu.

Bandar pelabuhan Chongqing adalah salah satu daripada empat majlis perbandaran di China dan terletak di sepanjang tebing sungai Yangtze.




David Rockefeller Meninggal Dunia

David Rockefeller, salah seorang terkaya dan berpengaruh di AS meninggal dunia 

Beliau adalah anak kepada John D Rockerfeller Jr

Juga merupakan cucu kepada John D Rockefeller Sr

Rockefeller bersama PM Israel, Golda Meir pada tahun 1971

Bersama PM China, Chou En Lai di Beijing tahun 1973

Pernah mempengaruhi Presiden Carter agar menerima Shah Iran tahun 1979

Bersama Presiden Ronald Reagan tahun 1984

Bersama Presiden Nelson Mandela tahun 1998

Bersama Presiden George Bush Sr tahun 2002

Foto tahun 2016 besama menantu dan cucu (kanan dan tengah)



NEW YORK - Jutawan dan dermawan, David Rockefeller, bekas peneraju Chase Manhattan Corp, antara keluarga terkaya dan paling berpengaruh Amerika Syarikat, meninggal dunia pada usia 101 tahun hari ini, kata jurucakap keluarga berkenaan. 

Rockefeller, yang dilaporkan pernah menyumbangkan hampir AS$2 billion (RM8.7 bilion) ketika hayatnya, mati dalam tidur akibat sakit jantung di kediamannya di Pocantico Hills, New York, kata Fraser Seitel dalam satu kenyataan. 

Beliau adalah anak kepada hartawan, John D Rockefeller Jr, yang membina bangunan pencakar langit, New York Rockefeller Center dan cucu jutawan minyak, John D Rockefeller, iaitu pengasas Standard Oil dan dinasti keluarga berkenaan. 

Beliau juga sinonim dengan era ketika ketua perbankan berpengaruh besar dalam kalangan ahli politik berkuasa sedunia. 

Ketika menerajui Chase dari 1969 ke 1981, Rockefeller membina rangkaian perhubungan rapat bersama beberapa kerajaan dan perbadanan multinasional hingga, menurut pemerhati, membolehkan ia menetapkan dasar luarnya sendiri. 

Akibatnya, nama Rockefeller menjadi simbol dasar perbankan AS yang tidak disenangi dalam kalangan negara peminjam, selain Rockefeller sendiri dikecam di negaranya kerana bekerjasama dengan diktator Chile, Augusto Pinochet serta Shah Iran. 

Beliau menimbulkan kemarahan kerana mendesak dibuka perdagangan dengan China dan Soviet Union ketika perang dingin. 

Kumpulan Trilateral Commission (Suruhanjaya Tiga hala), yang diasaskan Rockefeller pada 1973 merapatkan hubungan antara Amerika Utara, Jepun dan Eropah Barat, menjadi sasaran puak kanan dan peramal konspirasi yang mengatakan gabungan berkenaan ingin membentuk kerajaan sedunia. 

Rockefeller juga terbabit dalam insiden antarabangsa pada 1979 apabila beliau dan kawan akrabnya, Henry Kissinger membantu dalam mempengaruhi Presiden Jimmy Carter agar menerima masuk Shah Iran ke Amerika Syarikat bagi menjalani rawatan kerana limfoma, seterusnya mengeruhkan lagi krisis tebusan Iran ketika itu. - Reuters/BH Online



Sabtu, 18 Mac 2017

AS Timbang Tindakan Tentera Terhadap Korea Utara

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson tiba di Korea Selatan

Rex Tillerson bergambar semasa meninjau kampung sempadan Korea Utara dan Korea Selatan di Panmunjom 

Anggota tentera Korea Utara ini turut merakam gambar kunjungan Tillerson ke Panmunjom

Tentera Korea Utara di belakang merakam gambar dari jarak dekat - AFP

Tillerson bersama General AS, Vincent K Brooks

Di belakang Tillerson, seorang tentera Korea Utara merakam gambar dari jarak dekat


SEOUL - Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Korea Utara masih menjadi satu pilihan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson berkata demikian selepas memberi amaran, dasar bersabar terhadap Pyongyang sudah berakhir.

Dalam kenyataan yang menggambarkan perubahan dasar Washington terhadap Pyongyang, diplomat paling kanan Amerika Syarikat itu juga berkata, program misil dan nuklear Korea Utara perlu dihentikan.

“Sudah tentu kami tidak mahu pertikaian dengan Korea Utara merebak menjadi konflik tentera.

“Jika mereka meningkatkan ancaman program senjata mereka ke paras yang kami percaya memerlukan tindakan, maka tindakan ketenteraan adalah satu pilihan.

“Dasar bersabar sudah berakhir,” katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Yun Byung-Se.

Korea Selatan adalah negara kedua dilawati Tillerson dalam kunjungannya ke Asia. - Reuters/myMetro



Jumaat, 17 Mac 2017

Tentera Turunkan Maskot Harimau Kerana Tak Garang

Patung harimau di kem komando ini dianggap lucu 

Tentera akhirnya menurunkan maskot harimau ini



BANDUNG - Tentera Indonesia menurunkan patung harimau di depan sebuah kem komando di sini selepas ia menjadi bahan lawak di media sosial kerana kelihatan tidak garang dan lucu.

Harimau itu adalah maskot kem tentera di Cisewu tetapi mulutnya yang kelihatan seperti tersenyum lebar mula tular selepas dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

Ramai pengguna media sosial menganggap patung harimau itu lucu dan sehingga ada menggelarnya ‘harimau paling bahagia di dunia.’

“Kepala saya sakit kerana menahan ketawa apabila melihat beberapa gambar jenaka harimau Cisewu ini,” kata seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Galcit.

Kerana teruk disindir, tentera kelmarin akhirnya menurunkan patung harimau itu yang berada di atas papan tanda kem berkenaan selama enam tahun.

“Harimau sepatutnya kelihatan garang kerana haiwan itu melambangkan keberanian dan ketangkasan.

“Apabila seseorang mengkritik patung itu kerana kelihatan lucu kami tidak boleh tidak mengendahkannya,” kata jurucakap tentera, Mokhamad Desi Arianto.

Menurutnya, maskot harimau yang baru dan garang akan menggantikan tempat patung lama itu.

Tidak lama selepas gambar patung harimau itu diturunkan, pengguna media sosial melahirkan kesedihan dengan tindakan tentera itu.

Ramai pengguna media sosial juga mengkritik tentera kerana terlalu sensitif dengan gurauan di Internet.

“Saya sangat sedih kerana legenda harimau Cisewu dimusnahkan. Selamat tinggal harimau yang lucu,” kata pengguna Twitter, Blackvels. - myMetro



Bomba Dipanggil 'Sejukkan' Lelaki Baran

Anggota bomba memancutkan air ke arah lelaki kurang siuman 

Anggota bomba merawat lelaki berkenaan sebelum polis menahannya


KUCHING - Bomba terpaksa dipanggil bagi membantu polis 'menumpaskan' seorang lelaki kurang siuman yang dikhuatiri akan mengamuk, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di Lorong 2, Jalan Datuk Haji Hamdan, di sini, orang ramai cemas apabila lelaki berkenaan mundar mandir dengan membawa dua parang di kedua-dua tangannya. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 3.13 petang. 

Beliau berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dikejarkan ke tempat kejadian. 

"Setibanya di lokasi pada jam 3.18 petang anggota kami mendapati anggota polis sedang memujuk lelaki berkenaan," katanya. 

Bagaimanapun, lelaki itu terus menggenggam parang sehingga memaksa anggota bomba melepaskan pancutan air ke tangannya menyebabkan parang terlepas dari pegangan.

"Anggota polis kemudiannya bertindak pantas menahan lelaki berkenaan dan insiden itu berjaya diselesaikan. 

"Lelaki berkenaan kemudiannya ditahan polis untuk tindakan lanjut," katanya. - BH Online



Kapal Perang AS Tiba Di Korea Selatan

Kapal pengangkut pesawat AS, USS Carl Vinson tiba di Korea Selatan 

USS Carl Vinson akan menyertai latihan ketenteraan  untuk menentang Korea Utara

Kelengkapan senjata dan peralatan ketenteraan yang terdapat pada kapal pengangkut USS Carl Vinson

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah)

Ketegangan memuncak di rantau itu selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu


BUSAN, Korea Selatan – Kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear Amerika Syarikat (AS), USS Carl Vinson tiba di Korea Selatan kelmarin untuk menyertai latihan ketente­raan bersama dalam usaha terbaru menentang Korea Utara.

Menurut MailOnline, USS Carl Vinson tiba di pelabuhan Busan, selatan Korea Selatan ketika Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson memulakan lawatan ke wilayah itu.

Ketegangan antara Seoul dan Pyongyang memuncak selepas pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara dan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Malaysia beberapa minggu lalu.

Kapal induk itu membawa lebih 80 pesawat termasuk jet pejuang F/A-18F Super Hornet, E-2C Hawkeye dan pesawat pengangkut EA-18G Growler.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap me­laporkan, latihan ketenteraan itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk menumbangkan rejim Pyongyang.

“Lebih banyak anggota pasukan khas AS akan mengambil bahagian dalam latihan tentera Foal Eagle dan Key Resolve pada tahun ini.

“Latihan ini tertumpu kepada misi menyusup masuk ke Korea Utara, menghapuskan kepimpinan tentera dan memusnahkan fasiliti ketenteraannya,” kata seorang pegawai tentera yang enggan identitinya didedahkan kepada Yonhap.

Menurut Yonhap lagi, latihan tentera laut itu akan bermula pada minggu hadapan.

AS juga telah mengerahkan dron penyerang Gray Eagle ke Korea Selatan, kata seorang jurucakap tentera pada Isnin lalu.

Tentera Korea Selatan dan AS memulakan latihan tentera bersama berskala besar itu pada 1 Mac lalu.

Latihan sama pada tahun lalu melibatkan kira-kira 17,000 tentera AS dan lebih 300,000 tentera Korea Selatan. Latihan pada tahun ini dijangka melibatkan jumlah yang hampir sama. – Agensi/Kosmo! Online


Rabu, 15 Mac 2017

Muka Wanita Melecur Akibat 'Headphone' Terbakar

'Headphone' terbakar menyebabkan pipi, hidung dan mulut wanita ini berjelaga hitam

'Headphone' berkuasa bateri yang digunakannya terbakar semasa penerbangan ke Australia

Tangan wanita ini juga melepuh


SYDNEY - Seorang wanita melecur pada muka dan tangan selepas fon kepala berkuasa beteri yang digunakannya terbakar ketika dalam penerbangan ke Australia.

Pegawai penerbangan memberi amaran mengenai bahaya membawa alat peranti menggunakan bateri dalam pesawat.

Penumpang pesawat terbabit sedang mendengar muzik menggunakan fon kepala berkuasa bateri dan tertidur dalam penerbangan dari Beijing ke Melbourne pada 19 Februari, apabila tiba-tiba kedengaran satu letupan kuat.

"Saya terasa suatu terbakar pada muka. Saya tanggalkan fon kepala dan mencampaknya ke lantai. Ketika itu ia masih mengeluarkan percikan api," kata wanita itu kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang menyiasat kejadian itu.

Atendan penerbangan segera memberi bantuan dengan mencurah sebaldi air pada fon kepala itu, tetapi bateri dan penutupnya sudah cair dan melekat pada lantai pesawat.

Gambar menunjukkan wanita yang tidak dinamakan itu mempunyai kesan hitam pada muka dan leher serta lecur di tangan, manakala penumpang lain batuk dan sesak nafas akibat bau plastik dan rambut terbakar sepanjang penerbangan itu.

Biro keselamatan pengangkutan, yang tidak menamakan syarikat penerbangan terbabit, berkata bateri lithium-ion dalam peranti itu mungkin terbakar.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, beberapa insiden yang membabitkan bateri litium terbakar direkodkan termasuk kejadian yang mana penumpang penerbangan yang sepatutnya berlepas dari Sydney tahun lalu diarahkan keluar dari pesawat apabila asap dilihat dari bagasi tangan penumpang.

Ia kemudiannya mendapati bahawa bateri litium terbakar. - AFP/BH Online



Panorama Kereta Api Bangladesh














Lupakan sahaja untuk mendapat tempat duduk yang selesa. Di sini, anda dianggap bernasib baik jika dapat duduk bumbung kereta api.

Imej-imej yang mengejutkan ini merupakan pemandangan biasa yang dapat dilihat pada setiap hari di Dhaka, Bangladesh.

Setiap hari, lelaki, wanita dan kanak-kanak berebut-rebut memanjat bumbung kereta api tanpa menghirau bahaya terjatuh atau tergelincir.

Mereka yang sanggup mengambil risiko memanjat bumbung ini ialah mereka yang gagal mendapat tempat duduk atau tempat berdiri di dalam koc kereta api yang sesak.

Keadaan seperti ini dapat dilihat pada sebelah pagi ketika orang ramai sibuk hendak pergi bekerja dan pada sebelah petang, apabila orang ramai berebut-rebut hendak pulang ke rumah selepas waktu bekerja.

Gambar-gambar ini dirakamkan oleh pembuat dokumentari Yousuf Tushar, yang menghabiskan masa sehari suntuk di Stesen Kereta Api Dhaka untuk merakam panorama yang menarik hati ini. - Daily Mail



Pilih Hukuman Ikut Undang-Undang Syariah

Penduduk beragama Buddha ini memilih dihukum ikut undang-undang syariah

Bulan lalu, lelaki beragama Islam ini disebat dikhalayak ramai

Wanita Islam ini juga menjalani hukum sebat pada bulan lalu


ACEH - Dua penduduk beragama Buddha secara suka rela memilih dihukum mengikut undang-undang syariah selepas didapati bersalah kerana berjudi.

Ratusan penduduk di Aceh Besar berkumpul di Masjid Al Munawaroh baru-baru ini bagi melihat enam pesalah termasuk dua lelaki beragama Buddha berkenaan dihukum sebat kerana melanggar undang-undang syariah.

Kedua-dua lelaki berusia 57 dan 60 tahun itu dihukum sebat sembilan kali kerana didapati bersalah berjudi sabung ayam.

Seorang lelaki Islam berusia 35 tahun pula dihukum sebat 10 kali juga didapati bersalah kerana berjudi.

Aceh menguatkuasakan undang-undang syariah selepas mendapat kuasa autonomi dan setiap penduduknya termasuk yang berlainan agama mematuhinya.

Bagaimanapun, orang yang bukan Islam yang didapati bersalah melakukan jenayah boleh memilih untuk dihukum mengikut undang-undang syariah atau kanun jenayah negara itu.

Kesalahan berjudi mengikut undang-undang kanun jenayah boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda Rp25 juta (RM8,337).

“Dengan menerima hukuman mengikut undang-undang syariah, kedua-dua mereka ini secara suka rela mahu disebat,” kata pendakwa raya Aceh Besar, Aziz yang dipetik Jakartapost.

Pesalah bukan Islam pertama yang dihukum mengikut undang-undang syariah di Aceh adalah seorang lelaki yang disebat pada pertengahan 2016 kerana menjual arak.

Sementara itu, Aziz memberitahu, seorang guru agama dihukum sebat 112 kali kerana mencabul tiga pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun.

Darmawan AB Abdullah, 41, pada mulanya dijatuhi hukuman sebat 120 kali tetapi dikurangkan kerana hakim menimbang tempoh dia ditahan.

“Pesalah melakukan perbuatan keji ini di lokasi dan masa yang berbeza,” katanya. -myMetro


Selasa, 14 Mac 2017

Cerita Tauke Cili Dua Beranak

Dua beranak, Hanifa dan Diran mengusahakan ladang cili

Hanifa dan Diran menunjukkan pokok cili mereka yang sudah berbuah

Sepohon cili menghasilkan berpuluh-puluh biji cili

Cili yang sudah dituai

Mereka juga ada menanam rock melon

Mereka menggunakan teknologi moden untuk menyalurkan air ke ladang

Teknik tanaman yang mereka gunakan tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai



Rodly Fadly
rencana@hmetro.com.my

Melihat ladang cili yang menghijau luas di depan mata, tidak ramai percaya ia diusahakan dua beranak yang pada asalnya ‘buta’ mengenai pertanian.

Ini kerana sebelum terbabit dalam bidang berkenaan, Mohd Hanifa Mokhtar, 68, bertugas dalam industri minyak dan gas manakala anaknya, Adi Diran Hans, 33, pula seorang ahli perniagaan.

Namun keberanian Hanifa dan Diran untuk mencuba, di samping sikap tidak malu bertanya serta belajar ternyata berbaloi apabila mereka muncul sebagai pengusaha ladang cili yang berjaya di Ijok, Selangor.

Ia bermula apabila kedua beranak itu terkena tempias kegawatan ekonomi. Keadaan itu memaksa mereka mencari alternatif demi kelangsungan hidup.

Akhirnya Hanifa dan Diran sepakat menukar status ladang kelapa sawit warisan keluarga kepada ladang cili membabitkan kawasan seluas satu hektar untuk menanam 8,000 pokok cili jenis 461.

Hanifa berkata, walaupun bidang pertanian terlalu asing bagi mereka, selepas hampir setahun terbabit, dia mula jatuh cinta dengan bidang ini.

“Melihat apa yang ada di depan mata sekarang, saya sendiri seperti tidak percaya ia hasil usaha saya dan Diran.

“Seumur hidup kami sebelum ini memang tidak pernah pegang cangkul walaupun untuk berkebun secara kecil-kecilan di belakang rumah.

“Namun dalam keadaan tercari-cari untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan hidup, saya fikir mengapa tidak kami mencuba bidang pertanian walaupun hakikatnya kami tidak tahu selok-belok bertani,” katanya.

Menurutnya, mereka beruntung kerana seorang anak muda di kampung berkenaan, Noor Azwan Nordin (Wan) yang sudah berjaya sebagai pengusaha ladang cili tidak lokek menurunkan ilmu secara percuma.

“Atas nasihat dan tunjuk ajar Wan, kami memulakan projek tanaman cili secara kecil-kecilan. Sebagai percubaan, pada Mei tahun lalu, kami menanam 1,000 pokok cili dalam beg semaian di kawasan berkenaan.

“Pada awalnya agak kekok kerana bidang ini menyimpang jauh daripada kerjaya kami selama ini. Tetapi, pengalaman yang kami lalui setiap hari menjadi guru untuk menambah ilmu mengenai pertanian.

“Di samping itu, saya juga banyak menimba pengetahuan melalui pembacaan di laman maya. Apabila mendapat hasil pertama, ia sangat memberangsangkan serta menambahkan keyakinan kami untuk menjadikan penanaman cili sebagai kerjaya baru,” katanya.

Sementara itu, Diran berkata, mereka memilih cili kerana ia tanaman yang tidak banyak kerenah serta mudah dijaga. Apatah lagi, mereka menggunakan kaedah moden yang tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Menggunakan penanaman secara fertigasi, kami tidak perlu membajak tanah, merumput mahupun meracun. Apabila sampai masa, kami akan menggantikan pokok lama dengan pokok baru menggunakan beg semaian sama.

“Malah, sistem pengaliran air secara moden sangat menjimatkan tenaga kerja. Kami hanya perlu memasang alat jangka masa di tangki bekalan di mana ia akan membekalkan air secara automatik mengikut masa yang kami tetapkan,” katanya.

Menurutnya, penanaman cili dapat memberi hasil yang cepat iaitu dalam tempoh 84 hari selepas dipindahkan daripada tapak semaian. Malah, permintaan terhadap cili jenis 461 sangat tinggi serta pulangannya juga lumayan.

Soal pemasaran juga tidak menjadi masalah kerana semua cili yang diusahakan dihantar ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.

Selain mengusahakan cili, mereka turut menggunakan sebahagian kawasan itu untuk menanam rock melon dan sebagai percubaan, mereka mengusahakan 6,000 pokok.

“Seperti cili, rock melon juga tidak sukar dijaga dan cepat mengeluarkan hasil iaitu dalam tempoh 75 hari. Cuma bagi memastikan ia menghasilkan buah yang berkualiti dan lebih besar, setiap pokok dihadkan kepada sebiji buah sahaja,” katanya.