"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 21 Mac 2017

Sistem Pangangkutan Monorail Yang Unik Di China

Di bandar Chongqing, landasan monorail dibina melalui bahagian dalam bangunan kediaman 

Stesen monorail dibina di tingkat enam hingga lapan bangunan ini

Bandar Chongqing merupakan kawasan yang padat didiami penduduk



Kepadatan penduduk yang mendiami Bandar Chongqing di tenggara China telah mendorong pihak perancang bandarnya menjadi lebih kreatif.

Hasilnya, sebuah landasan tren monorail telah dibina melalui ruang di sebuah bangunan apartmen 19 tingkat di bandar tersebut.

Manakala stesen dibina di tingkat enam hingga lapan di dalam blok rumah-rumah berkenaan, bagi memudahkan penduduknya menaiki tren itu.

Walaupun mereka tinggal berhampiran stesen kereta api yang sibuk, namun peralatan khas telah dipasang bagi mencegah bunyi yang kurang menyenangkan penduduknya.

Menurut jurucakap pihak berkuasa, mencari ruang untuk membina jalan raya dan landasan adalah perkara yang sangat sukar di bandar itu.

Bandar pelabuhan Chongqing adalah salah satu daripada empat majlis perbandaran di China dan terletak di sepanjang tebing sungai Yangtze.




David Rockefeller Meninggal Dunia

David Rockefeller, salah seorang terkaya dan berpengaruh di AS meninggal dunia 

Beliau adalah anak kepada John D Rockerfeller Jr

Juga merupakan cucu kepada John D Rockefeller Sr

Rockefeller bersama PM Israel, Golda Meir pada tahun 1971

Bersama PM China, Chou En Lai di Beijing tahun 1973

Pernah mempengaruhi Presiden Carter agar menerima Shah Iran tahun 1979

Bersama Presiden Ronald Reagan tahun 1984

Bersama Presiden Nelson Mandela tahun 1998

Bersama Presiden George Bush Sr tahun 2002

Foto tahun 2016 besama menantu dan cucu (kanan dan tengah)



NEW YORK - Jutawan dan dermawan, David Rockefeller, bekas peneraju Chase Manhattan Corp, antara keluarga terkaya dan paling berpengaruh Amerika Syarikat, meninggal dunia pada usia 101 tahun hari ini, kata jurucakap keluarga berkenaan. 

Rockefeller, yang dilaporkan pernah menyumbangkan hampir AS$2 billion (RM8.7 bilion) ketika hayatnya, mati dalam tidur akibat sakit jantung di kediamannya di Pocantico Hills, New York, kata Fraser Seitel dalam satu kenyataan. 

Beliau adalah anak kepada hartawan, John D Rockefeller Jr, yang membina bangunan pencakar langit, New York Rockefeller Center dan cucu jutawan minyak, John D Rockefeller, iaitu pengasas Standard Oil dan dinasti keluarga berkenaan. 

Beliau juga sinonim dengan era ketika ketua perbankan berpengaruh besar dalam kalangan ahli politik berkuasa sedunia. 

Ketika menerajui Chase dari 1969 ke 1981, Rockefeller membina rangkaian perhubungan rapat bersama beberapa kerajaan dan perbadanan multinasional hingga, menurut pemerhati, membolehkan ia menetapkan dasar luarnya sendiri. 

Akibatnya, nama Rockefeller menjadi simbol dasar perbankan AS yang tidak disenangi dalam kalangan negara peminjam, selain Rockefeller sendiri dikecam di negaranya kerana bekerjasama dengan diktator Chile, Augusto Pinochet serta Shah Iran. 

Beliau menimbulkan kemarahan kerana mendesak dibuka perdagangan dengan China dan Soviet Union ketika perang dingin. 

Kumpulan Trilateral Commission (Suruhanjaya Tiga hala), yang diasaskan Rockefeller pada 1973 merapatkan hubungan antara Amerika Utara, Jepun dan Eropah Barat, menjadi sasaran puak kanan dan peramal konspirasi yang mengatakan gabungan berkenaan ingin membentuk kerajaan sedunia. 

Rockefeller juga terbabit dalam insiden antarabangsa pada 1979 apabila beliau dan kawan akrabnya, Henry Kissinger membantu dalam mempengaruhi Presiden Jimmy Carter agar menerima masuk Shah Iran ke Amerika Syarikat bagi menjalani rawatan kerana limfoma, seterusnya mengeruhkan lagi krisis tebusan Iran ketika itu. - Reuters/BH Online



Sabtu, 18 Mac 2017

AS Timbang Tindakan Tentera Terhadap Korea Utara

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson tiba di Korea Selatan

Rex Tillerson bergambar semasa meninjau kampung sempadan Korea Utara dan Korea Selatan di Panmunjom 

Anggota tentera Korea Utara ini turut merakam gambar kunjungan Tillerson ke Panmunjom

Tentera Korea Utara di belakang merakam gambar dari jarak dekat - AFP

Tillerson bersama General AS, Vincent K Brooks

Di belakang Tillerson, seorang tentera Korea Utara merakam gambar dari jarak dekat


SEOUL - Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Korea Utara masih menjadi satu pilihan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson berkata demikian selepas memberi amaran, dasar bersabar terhadap Pyongyang sudah berakhir.

Dalam kenyataan yang menggambarkan perubahan dasar Washington terhadap Pyongyang, diplomat paling kanan Amerika Syarikat itu juga berkata, program misil dan nuklear Korea Utara perlu dihentikan.

“Sudah tentu kami tidak mahu pertikaian dengan Korea Utara merebak menjadi konflik tentera.

“Jika mereka meningkatkan ancaman program senjata mereka ke paras yang kami percaya memerlukan tindakan, maka tindakan ketenteraan adalah satu pilihan.

“Dasar bersabar sudah berakhir,” katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Yun Byung-Se.

Korea Selatan adalah negara kedua dilawati Tillerson dalam kunjungannya ke Asia. - Reuters/myMetro



Jumaat, 17 Mac 2017

Tentera Turunkan Maskot Harimau Kerana Tak Garang

Patung harimau di kem komando ini dianggap lucu 

Tentera akhirnya menurunkan maskot harimau ini



BANDUNG - Tentera Indonesia menurunkan patung harimau di depan sebuah kem komando di sini selepas ia menjadi bahan lawak di media sosial kerana kelihatan tidak garang dan lucu.

Harimau itu adalah maskot kem tentera di Cisewu tetapi mulutnya yang kelihatan seperti tersenyum lebar mula tular selepas dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

Ramai pengguna media sosial menganggap patung harimau itu lucu dan sehingga ada menggelarnya ‘harimau paling bahagia di dunia.’

“Kepala saya sakit kerana menahan ketawa apabila melihat beberapa gambar jenaka harimau Cisewu ini,” kata seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Galcit.

Kerana teruk disindir, tentera kelmarin akhirnya menurunkan patung harimau itu yang berada di atas papan tanda kem berkenaan selama enam tahun.

“Harimau sepatutnya kelihatan garang kerana haiwan itu melambangkan keberanian dan ketangkasan.

“Apabila seseorang mengkritik patung itu kerana kelihatan lucu kami tidak boleh tidak mengendahkannya,” kata jurucakap tentera, Mokhamad Desi Arianto.

Menurutnya, maskot harimau yang baru dan garang akan menggantikan tempat patung lama itu.

Tidak lama selepas gambar patung harimau itu diturunkan, pengguna media sosial melahirkan kesedihan dengan tindakan tentera itu.

Ramai pengguna media sosial juga mengkritik tentera kerana terlalu sensitif dengan gurauan di Internet.

“Saya sangat sedih kerana legenda harimau Cisewu dimusnahkan. Selamat tinggal harimau yang lucu,” kata pengguna Twitter, Blackvels. - myMetro



Bomba Dipanggil 'Sejukkan' Lelaki Baran

Anggota bomba memancutkan air ke arah lelaki kurang siuman 

Anggota bomba merawat lelaki berkenaan sebelum polis menahannya


KUCHING - Bomba terpaksa dipanggil bagi membantu polis 'menumpaskan' seorang lelaki kurang siuman yang dikhuatiri akan mengamuk, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di Lorong 2, Jalan Datuk Haji Hamdan, di sini, orang ramai cemas apabila lelaki berkenaan mundar mandir dengan membawa dua parang di kedua-dua tangannya. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 3.13 petang. 

Beliau berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dikejarkan ke tempat kejadian. 

"Setibanya di lokasi pada jam 3.18 petang anggota kami mendapati anggota polis sedang memujuk lelaki berkenaan," katanya. 

Bagaimanapun, lelaki itu terus menggenggam parang sehingga memaksa anggota bomba melepaskan pancutan air ke tangannya menyebabkan parang terlepas dari pegangan.

"Anggota polis kemudiannya bertindak pantas menahan lelaki berkenaan dan insiden itu berjaya diselesaikan. 

"Lelaki berkenaan kemudiannya ditahan polis untuk tindakan lanjut," katanya. - BH Online