"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 28 Februari 2017

Kutip GST RM39b Tapi Beri BR1M Cuma RM6.8j

Datuk Abdul Kadir Jasin dakwa kerajaan kutip GST RM39 bilion tetapi beri BR1M RM6.8 juta sahaja

Datuk Abdul Kadir Jasin membandingkan hasil kutipan GST dengan pembahagian BR1M


Kerajaan mengambil duit rakyat melalui GST dengan tangan kanan dan bagi balik sedikit melalui BR1M dengan tangan kiri.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Abdul Kadir Jasin menempelak kerajaan yang mengatakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membantu rakyat mengatasi kos sara hidup.

Ini kerana, jelas beliau yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan NST, kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) membolehkan kerajaan mengaut RM39 bilion tetapi memberi BR1M sebanyak RM6.8 juta sahaja.

"BR1M dijangka akan dinikmati oleh tujuh juta penerima dengan jumlah besar RM6.8 juta. Maksudnya apa yang dibagi sebagai BR1M hanyalah sebahagian kecil saja daripada beban GST yang ditanggung oleh rakyat jelata. Kerajaan kutip RM39 bilion tapi bagi balik RM6.8 juta.

"Itu belum lagi dikira kenaikan harga barang dan perkhidmatan macam saya sebutkan di atas. Jadi kalau kita kaji dan halusi, susah kita nak telan hujah yang kata GST selamatkan negara dan BR1M bantu rakyat jelata atasi kos sara hidup yang melambung," kata beliau dalam blognya.

Dua hari yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pemprosesan permohonan 3,123,950 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijangka selesai pada 28 Februari ini.

"Kepada yang masih belum menerima BR1M atau status mereka masih dalam proses, iaitu seramai 3,123,950, pemprosesan permohonan BR1M anda dijangka selesai pada 28 Februari ini.

"Bagi yang dah menerima BR1M, saya harap dapat dibelanjakan dengan berhemah, Insya-Allah," katanya menerusi catatan di laman Facebook dan Twitter.

Pembayaran BR1M bagi 2017 secara baucar dibuat pada 18 Februari manakala pembayaran secara terus ke akaun bank dibuat mulai 22 Februari lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, bagi memudahkan pemahaman, kerajaan dakwanya mengambil duit rakyat melalui GST dengan tangan kanan dan bagi balik sikit melalui BR1M dengan tangan kiri.

"Apa yang rakyat dapat dalam bentuk BR1M adalah duit mereka sendiri. Dalam bahasa perniagaan dan percukaian dipanggil rebat (rebate)," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi pandangan ahli ekonomi yang ditemuinya mengenai kemampuan BR1M untuk mengatasi kesan GST ke atas orang miskin.

"Dia jawab macam ini, kutipan GST tahun 2016 kira-kira RM39 bilion manakala bilangan isi rumah di Malaysia 6.35 juta. Jadi bayaran purata GST setiap isi rumah kira-kira RM6,141 setahun.

“Ini anggaran kasar sebab perniagaan pun bayar GST. Saya tidak tahu peratusan GST yang dibayar oleh pengguna dan perniagaan," katanya lagi. - Malaysiakini


Muslimat Tak Selesa Kerja Bawah Trump


Rumana Ahmed, pekerja muslim Majlis Keselamatan AS letak jawatan

Rumana mula bekerja di Majlis Keselematan AS ketika Barack Obama menjadi presiden

Trump semasa menandatangani arahan eksekutif melarang pelancong dari tujuh buah negara Islam memasuki Amerika Syarikat



NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pekerja muslim Majlis Keselamatan Amerika Syarikat (AS) meletak jawatan selepas lapan hari bekerja di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.



Memetik laporan Daily Mail pekerja berkenaan, Rumana Ahmed, bertindak sedemikian kerana mendakwa adalah satu penghinaan sekiranya beliau terus bekerja di bawah Trump.


"Saya tidak selesa untuk pergi bekerja selepas Trump menjadi bos.


"Selepas beberapa tindakan yang dibuatnya, saya dilihat seolah-olah seperti orang asing," ujar Rumana.


Difahamkan Rumana terkesan dengan tindakan Trump yang mengeluarkan arahan eksekutif melarang pelancong dari tujuh buah negara Islam memasuki Amerika Syarikat.


Terdahulu, Rumana mula bekerja di Majlis Keselematan AS ketika Barack Obama menjadi presiden.

Rumana merupakan imigran, ibu bapanya berpindah ke Amerika Syarikat dari Bangladesh pada tahun 1978. - Sinar Harian



Nokia Lancar Telefon Baru

Pelancaran Nokia model 3310 di Barcelona

Nampak lebih ikonik

Model lama

Dengan skrin berwarna



BARCELONA - Nokia mengembalikan kegemilangan model 3310 ketika Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2017 dengan mengubah sedikit reka bentuk ikoniknya serta kali ini datang dengan skrin berwarna.

Ia datang dengan skrin 2.4 inci format 320 x 240 piksel dan lebih nipis berbanding model pertama yang dikeluarkan 17 tahun lalu.

Dengan skrin berwarna, Nokia 3310 mempunyai kenipisan 12.8 milimeter dan berat 79.6 gram.

Sebelum ini, Nokia 3310 setebal 22 millimeter dan seberat 133 gram.

Selain itu, permainan Snake yang menjadi ikon 3310 juga akan dikekalkan dengan operasi telefon menggunakan Series 30+.

Kali ini, 3310 datang dengan warna termasuk hijau, merah dan kuning malah rekaannya lebih ringan berbanding model terdahulu.

Sebelum ini, Microsoft mengambil alih Nokia di bawah Microsoft Mobile dan kini syarikat Finland, HMD Global terbabit mahu memperkasakan semula jenama asal.

Ia ditawarkan pada harga sekitar RM280. -myMetro



Pembuat Bom Ikan Warga Asing Ditahan

Pekan Kunak. Foto: Pejabat Daerah Kunak

Kawasan perkampungan atas air Kampung Kunak 3 diserbu polis, awal pagi tadi. - Foto Ihsan IPD Kunak

Karung guni mengandungi baja urea untuk membuat bom ikan. Foto Ihsan IPD Kunak

KUNAK: Polis menahan dua lelaki warga asing disyaki pembuat dan penjual bom ikan di kawasan penempatan pinggir laut di Kampung Kunak 3 dekat sini. 

Dalam tangkapan pertama pada jam 7.05 malam, seorang warga Filipina berumur 25 tahun ditahan sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak ketika memikul sebuah karung guni dalam keadaan mencurigakan. 

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasarudin M Nasir, berkata menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan sebelum pemeriksaan mendapati dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. 

"Pemeriksaan ke atas karung guni menemui baja urea seberat 25 kilogram dipercayai digunakan untuk memproses dan menghasilkan bom ikan," katanya di sini, hari ini. 

Susulan itu, Mohd Nasarudin berkata, polis menyerbu dua rumah di penempatan terbabit pada jam 2.30 pagi tadi dan menemui satu botol bom ikan yang sedia untuk digunakan, selain sumbu, mancis, wayar dan lima unit bahan peledak serta peralatan lain. 

"Hasil serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berumur 30-an dipercayai pembuat dan penjual bom ikan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya. - Berita Harian


Abu Sayyaf Penggal Tebusan Jerman

Foto dari video pendek yang disiarkan SITE Intelligence Group, yang memantau laman sesawang militan

Abu Sayyaf mengancaman untuk membunuh Kantner selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan tamat kelmarin


Dalam video ini Kantner berkata, ”Kini mereka akan membunuh saya.”

Kantner bersama isterinya, Sabine Merz pada tahun 2009


MANILA - Militan Abu Sayyaf menyiarkan satu rakaman video yang memaparkan anggota kumpulan itu memenggal kepala tebusan warga Jerman, Jurgen Gustav Kantner yang diculik di selatan Filipina.


Video pendek yang disiarkan SITE Intelligence Group, yang memantau laman sesawang militan, adalah petunjuk pertama Abu Sayyaf melaksanakan ancaman untuk membunuh Kantner selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan tamat kelmarin.

Dalam video berkenaan Kantner dilihat duduk di atas rumput dan berkata, ”Kini mereka akan membunuh saya.”

Seorang anggota militan yang memakai topeng kemudian memenggal kepala Kantner dengan menggunakan pisau bengkok.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman Martin Schaefer berkata, pakar meneliti video itu bagi memastikan ia asli atau tidak.

“Sekiranya video ini asli, ia sangat mengejutkan,” katanya.

Abu Sayyaf menculik Kantner dan membunuh isterinya selepas memintas kapal layar yang dinaiki pasangan berkenaan berhampiran perairan Sabah di Malaysia pada November lalu.

Kumpulan itu meminta wang tebusan berjumlah 30 juta peso (RM2.7 juta) sebagai syarat untuk membebaskan Kantner.

Abu Sayyaf juga masih menahan beberapa tebusan warga asing termasuk dari Indonesia dan Malaysia. myMetro/AFP



Lelaki Pengsan Dihukum Sebat















BANDA Aceh - Seorang lelaki pengsan ketika dihukum sebat di khalayak ramai semalam selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang wanita yang bukan muhrimnya.

Herizal Yunus, 27, rebah selepas dirotan lapan kali di Aceh, wilayah autonomi yang menguatkuasakan undang-undang Islam di Indonesia.

Petugas membawa Herizal turun dari pentas ketika dia dirotan di hadapan orang ramai di sebuah masjid di Banda Aceh.

Apabila Herizal sedar, seorang doktor memeriksanya dan berkata, lelaki itu sihat. Dia kemudian dibawa semula ke pentas untuk menerima baki 14 sebatan lagi.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman sebat sebanyak 22 kali terhadap lelaki itu selepas dia ditangkap berdua-duaan dengan seorang wanita yang bukan isterinya.

Lelaki itu antara lapan pesalah yang dihukum sebat di khalayak ramai atas pelbagai kesalahan termasuk berkhalwat dan berjudi.

Aceh mula menguatkuasakan undang-undang Islam selepas mendapat kuasa autonomi pada 2001, sekali gus menamatkan pemberontakan di wilayah itu.

Undang-undang Islam mula diperkasakan sejak Aceh menandatangani perjanjian damai dengan Jakarta pada 2005. - myMetro/AFP



Lima Pegawai Tentera Korea Utara Dihukum Bunuh

Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un bersama pegawai kanan tenteranya

Menteri Keselamatan Negara Korea Utara, Kim Won Hong turut menerima hukuman



PYONGYANG - KOREA UTARA. Seramai lima pegawai tentera Korea Utara dihukum bunuh setelah berlakunya kes pembunuhan Kim Jong-nam, di KLIA2, 13 Februari lalu, lapor Reuter.

Kesemua pegawai terbabit dihukum dengan tembakan meriam anti-pesawat kerana didakwa bersalah memberikan maklumat palsu kepada kerajaan.

Inilah hukuman mati dijatuhkan buat pertama kali ke atas pegawai tentera Korea Utara selepas kematian Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-un.

Bagaimanapun, menurut laporan, tidak dipastikan apakah maklumat palsu itu berkaitan dengan kematian Jong-nam atau tidak.

Pada masa yang sama, Menteri Keselamatan Negara Korea Utara, Kim Won Hong turut menerima hukuman apabila dikurung atas kesalahan yang sama, iaitu menyalurkan berita palsu kepada pihak kerajaan.

Pada awal bulan lalu, Wong Hong dipecat kerana bersabit kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan melanggari hak asasi manusia.

Sejak Jong-un dilantik menjadi presiden pada tahun 2011, sekurang-kurangnya 340 pegawai tentera dan kakitangan kerajaan telah menerima hukuman mati.

Atas arahan Jong-un, salah satu bentuk hukuman mati yang dikenakan terhadap pesalah adalah menggunakan meriam anti pesawat sehingga menyebabkan seluruh badan pesalah berkecai sepenuhnya.

Difahamkan, ketika menerima hukuman, semua pesalah hanya diletakkan pada jarak 100 kaki daripada meriam berkenaan. - Sinar Harian



Bush Kritik Tindakan Trump

Bekas Presiden Amerika Syarikat dari Republikan, George W Bush, mengkritik Donald Trump semalam

Bush bercakap dalam program 'Today' terbitan NBC. 

Trump berulang kali menggelar media sebagai 'berita palsu.' 

Bush menolak dakwaan Trump bahawa media adalah 'musuh rakyat AS


WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat dari Republikan, George W Bush, mengkritik Donald Trump semalam, dalam komen terbuka berkaitan politik dan media yang jarang dilakukannya terhadap presiden baharu itu. 


Presiden ke-43 Amerika Syarikat (AS) itu, yang pernah terbabit dalam pergelutan dengan media ketika mentadbir, menolak dakwaan Trump bahawa media adalah 'musuh rakyat AS.' 

"Saya menganggap media amat penting kepada demokrasi. Kita memerlukan media untuk mengetahui penilaian orang ramai seperti saya," kata Bush kepada program 'Today' terbitan NBC. 

Kenyataan kesat Trump dikritik sebagai diktator, namun media kekal sebagai 'pesalah' dalam kalangan penyokongnya. 

Di tengah gelombang kebocoran daripada Rumah Putih dan laporan siasatan terhadap kaitan kempennya dengan Russia, Trump berulang kali menggelar media sebagai 'berita palsu.' 

Pembantu berpengaruh Trump, Steve Bannon gemar merujuk media sebagai 'parti pembangkang.' 

Bush memberi tindak balas sentimen itu dengan mengatakan, 'kuasa boleh menjadi sesuatu yang sangat ketagih dan adalah penting kepada media menggesa mempertanggungjawabkan individu yang menyalah guna kuasa.' 

Bush juga menyifatkan komen Trump sebagai merendah-rendahkan usaha mempromosi demokrasi dan kebebasan media di luar negara. - Berita Harian Online/AFP



Isnin, 27 Februari 2017

Korea Utara Ada Syarikat Peralatan Tentera Di KL






KUALA LUMPUR: Di sebalik pintu tidak bertanda di aras dua sebuah bangunan usang di kejiranan Little India di sini, wujudnya operasi syarikat peralatan ketenteraan digelar Glocom. 


Glocom adalah syarikat dikendalikan ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio tempur sebagai pelanggaran sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menurut laporan PBB untuk Majlis Keselamatan yang diperoleh Reuters. 

Reuters mendapati, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi 'tentera dan separa tentera' di laman web miliknya di Malaysia, glocom.com.my

Laman web Glocom yang dipadam akhir tahun lalu, menyenaraikan alamat Little India di bahagian hubungannya. 

Tiada siapa menjawab panggilan di pejabat itu manakala peti surat di luar dipenuhi dengan surat tidak dibuka. 

Tiada syarikat dengan nama itu wujud di Malaysia. 

Bagaimanapun, dua syarikat Malaysia dikawal pemilik saham Korea Utara dan pengarah mendaftarkan laman web Glocom pada 2009, menurut laman web dan dokumen pendaftaran syarikat. 

Laporan deraf PBB berkata, ia sememangnya memiliki perniagaan disebutkan. 

Julai lalu, satu penghantaran udara peralatan komunikasi tentera Korea Utara dilakukan dari China menuju ke Eritrea, dipintas di sebuah negara tidak dinamakan. 

Peralatan rampasan termasuk 45 kotak radio tempur dan aksesori dilabel 'Glocom', nama pendek untuk Global Communications Co. 

Glocom dikawal Biro Peninjauan Awam (RGB), agensi perisikan Korea Utara ditugaskan dengan operasi luar negara dan pemerolehan senjata, kata laporan yang memetik maklumat tidak didedahkan. Seorang jurucakap untuk misi Korea Utara di PBB memberitahu Reuters, beliau tiada maklumat mengenai Glocom. 

Resolusi PBB 1874, diguna pakai pada 2009, melanjutkan embargo senjata ke atas Korea Utara untuk memasukkan peralatan tentera dan semua bahan berkaitan. 

Namun pelaksanaan sekatan itu tidak mencukupi dan sangat tidak konsisten dalam kalangan negara anggota, kata laporan PBB, dengan Korea Utara menggunakan teknik mengelak yang meningkat dari segi skala, skop dan kecanggihan'. 

Malaysia adalah satu daripada segelintir negara di dunia yang memiliki hubungan kuat dengan Korea Utara. Rakyat mereka boleh saling berkunjung tanpa visa. 

Bagaimanapun, hubungan itu mula bertukar keruh selepas abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Februari lalu. 

Menurut pangkalan data 'WHOIS', yang mendedahkan pemilikan laman web, Glocom.com.my didaftar pada 2009 oleh sebuah entiti digelar International Global System menggunakan alamat 'Little India'. 

Syarikat nama sama, International Golden Services disenarai sebagai orang hubungan di laman web Glocom. 

Glocom dikendalikan cawangan syarikat Pyongyang berpusat di Singapura digelar Pan Systems, kata laporan deraf PBB, memetik invois dan maklumat lain. 

Pengarah Urusan Pan Systems di Singapura, Louis Low, berkata syarikatnya pernah memiliki pejabat di Pyongyang sejak 1996, namun secara rasmi menamatkan hubungan dengan Korea Utara pada 2010 dan tidak lagi memiliki kawalan sebarang perniagaan di sana. 

"Mereka menggunakan nama Pan Systems dan mengatakan ia syarikat asing, namun mereka mengendalikan segala-galanya sendiri," katanya. - Berita Harian Online/Reuters


Cincin Berapi Di Langit






SARMIENTO (Argentina) - Pengkaji bintang dan peminat astronomi di sini bertepuk tangan apabila kawasan itu gelap selepas gerhana matahari yang dipanggil 'ring of fire' atau cincin berapi pada Ahad.

Kira-kira 300 orang berkumpul berhampiran Sarmiento, Argentina di mana gerhana itu meninggalkan 'cincin' terang di langit gelap.

Menggunakan teleskop khas, cermin mata pelindung atau peranti lubang jarum buatan sendiri, mereka menyaksikan matahari yang hampir sepenuhnya dilindungi bulan.

Beberapa pemerhati turut meniupkan hon 'erke' iaitu hon panjang tradisional Amerika Selatan.

Mereka antara orang pertama dapat menyaksikan gerhana matahari anulus yang berlangsung kira-kira 12 tengah hari GMT (8 malam waktu Malaysia), semalam.

Gerhana matahari anulus berlaku apabila Bumi, bulan dan matahari sebaris. Namun, bulan masih terlalu jauh dari Bumi untuk melindungi matahari sepenuhnya dan sebaliknya menyebabkan bentuk cincin kelihatan.

Gerhana itu paling sesuai dilihat dalam kawasan 100 kilometer merentasi Chile, Argentina, Angola, Zambia dan Republik Demokratik Congo.

Seorang daripada pemerhati, Jose Maselles Roman datang dari Barcelona, Sepanyol untuk menyaksikan gerhana itu.

"Saya sudah menyaksikan enam gerhana anulus dan setiap satu berbeza," katanya.

Sementara itu, Terry Moseley daripada Persatuan Astronomi Ireland berkata, kira-kira 90 peratus permukaan matahari ditutup.

"Anda akan mengalami penurunan suhu dan kecerahan serta perubahan dalam kualiti cahaya yang sukar untuk diterangkan," katanya. - myMetro/AFP



Sabtu, 25 Februari 2017

54 Peratus Rakyat AS Tolak Trump



Empat puluh tiga peratus rakyat Amerika menolak hasil kerja Presiden Donald Trump, menurut tinjauan terbaru pendapat orang ramai.


Tinjauan NBC News / SurveyMonkey menunjukkan majoriti 54 peratus umumnya menolak Presiden Amerika yang baru itu, manakala 25 peratus sangat bersetuju dengan kerja yang dilakukannya dan 18 peratus menyokong tindak-tanduk presiden.


Bagaimana cara rakyat Amerika menilai Trump bergantung kepada bangsa, jantina dan parti politik, menurut kajian itu.

Trump dianggap melakukan yang terbaik di kalangan warga kulit putih.

Ia satu-satunya kumpulan majoriti yang menyokong beliau.

Lima puluh lapan peratus warga kulit putih menyokong Presiden Trump, manakala 41 peratus sebaliknya.

Selain warga lelaki dan wanita kulit putih, lelaki Latin juga ramai menyokong Trump.

Empat puluh empat peratus daripada wanita kulit putih berkata mereka berpuashati dengan hasil kerja Trump setakat ini dan 42 peratus lelaki Latino mengatakan perkara yang sama.

Trump dianggap paling teruk di kalangan wanita hitam, dengan 81 peratus berkata mereka menolak hasil kerja presiden dan hanya 14 peratus mengatakan mereka menyokong.

Wanita Hispanic juga tidak berminat dengan presiden baru itu, dengan 75 peratus tidak berpuashati dengan prestasi kerja dan 21 peratus menyokong.

Walaupun kaum dan jantina memainkan peranan dalam bagaimana warga Amerika melihat Trump, namun petunjuk utama bergantung kepada faktor parti, kerana skor Trump tinggi di kalangan penyokong Republikan dan rendah di kalangan penyokong Demokrat yang dikaji.

Lapan puluh lapan peratus daripada penyokong Republikan berkata mereka berpuashati dengan hasil kerja Presiden Trump, manakala 10 peratus berkata mereka tidak berpuashati.

Pada pihak sebelah pula, 8 peratus daripada penyokong Demokrat berpuashati terhadap Trump, manakala 91 peratus sebaliknya.

Penduduk yang tidak menyokong mana-mana parti dan warga Amerika di bawah usia 30 tahun lebih cenderung menilai Trump seperti penyokong Demokrat, dengan 33 peratus berpuashati dan 66 peratus sebaliknya.

Di kalangan pengundi muda, 32 peratus bersetuju dengan Presiden Trump, manakala 67 peratus tidak menyokong presiden, yang sudah memegang jawatan selama lebih sebulan.